K'jaan mengesahkan filem terbaru Thor tidak lulus kerana unsur LGBT

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin mengesahkan filem blockbuster terbaru Marvel Studios, Thor: Love and Thunder, tidak melepasi garis panduan penapisan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

“Baru-baru ini terdapat sebuah filem yang tidak dikeluarkan daripada penapisan iaitu filem baharu Thor.

“Maknanya ia (filem) menyentuh isu LGBT. Sekarang kita lihat banyak filem berunsur LGBT yang terlepas daripada penapisan,” kata Zahidi semasa sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan senator Ahmad Yahaya yang bertanya mengenai pendirian kementerian dalam memantau kandungan program yang disiarkan di platform penstriman seperti Netflix.

Zahidi berkata pada masa ini semakin banyak filem yang mempromosikan LGBT secara halus.

Dia mengimbas semula filem mengenai Alexander the Great yang ditontonnya semasa muda, di mana terdapat adegan Alexander dan pembantunya pulang dari suatu tempat dengan “muka letih, seolah-olah selepas membuat sesuatu” seperti mempromosikan LGBT.

“Sekarang banyak filem-filem di TV (ada unsur) LGBT.

“Jadi kalau ada terlepas censorship, kami minta masyarakat tolong kita kawal, kita ambil tindakan,” katanya.

Bagaimanapun Zahidi berkata bukan mudah untuk mengambil tindakan, terutama bagi kandungan yang berasaskan dalam talian.

Zahidi memberi contoh pengguna akaun TikTok yang sebelum ini dikatakan mempromosikan LGBT.

“Sekarang kita ambil tindakan, dia dah lari ke luar negara dah. Itu promosi nombor satu tapi kita tak boleh tangkap lagi,” katanya.

Katanya, kerajaan bersama-sama jabatan agama melakukan banyak usaha untuk membendung LGBT di negara ini.

Golden Screen Cinemas (GSC) Julai lalu mengesahkan filem baru Thor tidak akan ditayangkan di Malaysia.

Tidak jelas pada masa itu sama ada keputusan itu diambil atas sebab komersial atau tekanan daripada badan penapisan filem.

Filem terbaru Thor itu pada mulanya dijadualkan ditayangkan di negara ini pada 7 Julai, tetapi ini kemudian ditangguhkan sehingga 21 Julai, sebelum akhirnya ditangguhkan selama-lamanya.

Untuk rekod, filem berkenaan mengandungi adegan di mana Chris Hemsworth, yang memainkan watak Thor, dipaparkan dalam keadaan bogel dari belakang dengan bahagian belakangnya jelas kelihatan.

Ada juga babak ringkas memaparkan unsur LGBT dalam filem itu, yang merujuk bahawa watak Valkyrie, yang dimainkan oleh Tessa Thompson, adalah biseksual dan watak lain, Korg, adalah gay.